Pemasangan kamera pengawasan lampu isyarat atau red light surveillance camera bukanlah baru dilaksanakan. Sebaliknya ia telah mula dipasang di persimpangan yang kerap berlaku perlanggaran undang-undang jalan raya sejak tahun 2014.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, pemasangan kamera pengawasan tersebut diharap dapat membantu mempertingkatkan pematuhan peraturan lampu isyarat di kalangan pengguna jalan raya.

“Pemasangan kamera yang beroperasi 24 jam itu diharap mampu mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas. Mana-mana pengguna kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah, kamera ini akan merakam gambar kesalahan yang dilakukan tidak kira siang atau malam.

“Pihak JSPT akan menghantar notis pemberitahuan saman ke alamat rumah pemilik kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamera pengawasan diharap dapat pertingkatkan pematuhan peraturan lampu Isyarat – JSPT

Tambahnya, lampu isyarat merupakan penunjuk atau arahan lalu lintas kepada pengguna kenderaan mahu pun pejalan kaki. Bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar dalam laluan yang selamat terutama di persimpangan jalan, ia terbahagi kepada tiga warna asas iaitu hijau untuk meneruskan perjalanan, kuning sedia untuk berhenti dan merah untuk berhenti.

“Bagaimanapun, masih ada pengguna kenderaan yang tidak mematuhi peraturan lampu isyarat sekali gus meningkatkan risiko kemalangan sehingga membahayakan nyawa. Justeru, kamera ini telah dipasang oleh PDRM melalui JSPT di persimpangan jalan yang kerap berlaku perlanggaran undang-undang dan kemalangan agar mampu mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas,” ujarnya sambil mengingatkan kesemua pengguna jalan raya untuk patuhi lampu isyarat.

Dua hari lalu, JSPT turut berkongsikan video pendek menerusi laman Facebook rasminya yang mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi lampu isyarat. Katanya, “Tanpa kehadiran anggota polis trafik pun, kami masih boleh memantau tindak tanduk anda. Jangan pula tiada kamera dan anggota polis, anda sesuka hati melanggar peraturan. Sabar itu indah, jalan raya dikongsi bersama. Sayangi diri, jauhi kemalangan.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.





Source link